Apakah Diabetes Melitus?
Diabetes Mellitus adalah sejenis gangguan atau ketidakaturan yang menghalang badan dari menggunakan makanan dengan berkesan. Karbohidrat ringkas (gula di dalam minuman ringan, kek, atau jem) dan karbohidrat kompleks (kanji di dalam nasi dan mee) akan dihadamkan di dalam badan untuk membentuk glukosa. Glukosa dalam aliran darah kemudiannya akan dicernakan di dalam pelbagai tisu badan dan proses ini dikawal atur oleh insulin. Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas iaitu organ kecil yang terletak di belakang perut. Kekurangan insulin dan/atau rintangan insulin (insulin resistance) menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes melitus. |
Apakah yang dimaksudkan Diabetes Mellitus semasa kehamilan?
Diabetes semasa hamil atau biasanya dipanggil sebagai Gestational Diabetes Mellitus (GDM) merupakan satu keadaan serius yang berlaku kepada wanita hamil yang sebelum ini tidak mengetahui ada menghidap diabetes, tetapi kini mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi dari paras mereka yang hamil normal.
Di luar kehamilan, diabetes dikelaskan sama ada Diabetes Mellitus Jenis 1 (Type 1) atau Jenis 2 (Type 2). Sebelum ini Diabetes Jenis 1 dikenali sebagai Diabetes Mellitus bersandarkan Insulin (Insulin Dependent Diabetes Mellitus, IDDM) dan Jenis 2 sebagai Diabetes Melitus tidak bersandarkan Insulin (Non-Insulin Dependent Diabetes Mellitus, NIDDM). Lebih 90% pesakit Diabetes menghidap Diabetes Jenis 2. Bagi kes Diabetes Jenis 1, insulin yang dihasilkan oleh sel beta-islet di dalam pankreas adalah tidak mencukupi atau tiada langsung. Manakala bagi Diabetes Jenis 2, reseptor insulin yang tidak sensitif dianggap menjadi penyebab utama masalah ini dan pesakit Jenis 2 biasanya mempunyai berat badan berlebihan atau gemuk. Semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu sedikit disebabkan oleh pelbagai hormon yang dihasilkan oleh plasenta/uri (organ yang membekalkan zat pemakanan kepada bayi melalui tali pusat) . Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen akan mengganggu pengeluaran insulin. Plasenta anda akan membesar pada trimester kedua dan ketiga, di mana lebih banyak hormon penghalang dikeluarkan dan seterusnya menyebabkan rintangan yang lebih tinggi terhadap tindakan insulin. Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi. Lazimnya, organ pankreas akan bertindak balas dengan menghasilkan insulin tambahan untuk menangani rintangan tersebut. Jika ia gagal maka GDM akan berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes kemudian nanti.
Adakah GDM kerap berlaku?
GDM biasanya dikesan selepas minggu ke 24 kehamilan dan berlaku kepada 1-14% peratus wanita hamil setiap tahun. Jika tidak dirawat, GDM boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada ibu dan bayi yang di kandung.
Siapakah yang berisiko mengalami GDM?
Sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan. Pesakit yang sememangnya menghidapi diabetes berisiko tinggi menghidap GDM. Namun, wanita boleh menghidap GDM tanpa sebarang penyakit diabetes sebelumnya. Faktor-faktor yang berkaitan dengan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:
Sejarah keluarga menghidapi diabetes |
---|
- Wanita berumur (> 25 tahun) |
- Berat badan yang berlebihan sebelum hamil |
- Menghidap GDM ketika kehamilan yang lalu |
- Mengalami masalah yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi, penghasilan cecair amnion berlebihan (polihidramnios), keguguran |
- Pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar (>4kg) ketika kelahiran terdahulu, lahir mati, atau bayi yang dilahirkan cacat |
- Jangkitan Kandidiasis faraj yang berulang-ulang dan jangkitan kulat pada kulit |
GEJALA/TANDA
Lazimnya wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan sesetengah wanita merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan kelesuan. Ramai wanita yang menghidap GDM tidak menunjukkan sebarang faktor risiko.
Doktor akan menjalankan ujian darah Oral Glucose Tolerance Test (OGTT) ke atas anda untuk mengesan GDM sama ada semasa lawatan pertama jika anda berisiko tinggi atau pada minggu ke 24 hingga 28 kehamilan, jika risiko anda tidak begitu tinggi. Jika ujian pertama untuk wanita yang berisiko tinggi negatif, maka ujian kedua perlu dilakukan antara minggu ke 28 hingga ke 32.
Apakah ujian OGTT?
Ujian akan dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00 malam sebelumnya. Sampel darah untuk menentukan paras gula dalam darah akan diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75 gm glukosa di larutkan dalam 250ml air). Ujian ini selesai apabila pengukuran paras gula dalam darah diambil 2 jam berikutnya.
Interpretasi hasil ujian
Venous plasma glucose (mmol/l) | ||
---|---|---|
Fasting | 2 hours post glucose load | |
Normal | < 6.1 | < 7.8 |
GDM | - | > 7.8 |
Bacaan di bawah 7.8 mmol/L biasanya dianggap normal untuk ujian OGTT ini tetapi doktor mungkin akan mengulangi ujian tersebut jika anda berisiko tinggi.
RAWATAN
Rawatan untuk GDM termasuklah mengambil langkah-langkah untuk memastikan paras glukosa darah anda sentiasa berada di paras normal ketika mengandung.
Doktor akan menasihatkan anda supaya mengikuti pelan pemakanan yang sesuai dan juga meningkatkan aktiviti fizikal supaya paras glukosa darah yang tinggi dapat dikurangkan. Anda juga perlu memantau paras glukosa darah anda dengan kerap (secara ideal, 4 hingga 6 kali sehari) bagi memastikan paras glukosa darah sentiasa berada di tahap yang normal.
Sesetengah wanita yang menghidap GDM mungkin memerlukan suntikan insulin, selain daripada amalan pemakanan sihat dan bergiat aktif dalam aktiviti fizikal, untuk mencapai paras glukosa darah yang disarankan.
Ubat oral antidiabetik (OAD) secara amnya tidak disarankan ketika mengandung. Tetapi, terdapat kajian-kajian terkini yang menunjukkan bahawa sesetengah OAD adalah selamat untuk digunakan ketika hamil.
Doktor mungkin mempreskripsikan salah satu ubat-ubatan ini jika peningkatan paras glukosa darah anda tidak terlalu tinggi. Berita baiknya, pemantauan paras glukosa darah yang kerap di samping mengamalkan diet sihat dan kerap bersenam adalah sudah cukup untuk mengawal GDM anda sekali gus dapat mengurangkan risiko terhadap anda dan bayi. Selepas bayi anda dilahirkan dan hormon plasenta sudah tidak lagi mengalir dalam badan anda, paras glukosa dalam darah anda biasanya akan kembali ke paras normal (melainkan jika paras glukosa anda sememangnya sudah tinggi, tetapi tidak disedari, sebelum hamil). Oleh itu, anda tidak perlu berasa terlalu bimbang terhadap keadaan ini, namun begitu, anda perlu menjaga diri dengan baik dan nikmatilah kehamilan.
Jika anda memang menghidap diabetes dan bercadang untuk hamil, anda perlu berusaha untuk mengawal diabetes pada tahap optima beberapa bulan sebelum mengandung kerana paras glukosa yang tinggi semasa trimester pertama akan meningkatkan risiko kelahiran bayi cacat.
Wanita yang mengidap penyakit diabetes Jenis 1 dan Jenis 2 sebaiknya menghadiri ‘klinik penjagaan pra-hamil’ atau ‘pre-pregnancy care clinic’.;
Mengapa diet yang khusus disyorkan?
Diet seimbang yang berkhasiat amat perlu untuk mengekalkan kesihatan ibu yang sihat dan kehamilan yang berjaya. Bagi wanita yang mengalami GDM, diet yang sempurna dapat memastikan paras gula dalam darah adalah normal dan secara amnya ia adalah langkah pertama yang dilakukan sebelum menggunakan terapi insulin. Tumpukan sepenuh perhatian terhadap pengambilan kalori setiap hari dan pemilihan makanan yang betul untuk mengekalkan paras gula di dalam darah. Keperluan kalori setiap hari meningkat sebanyak 300 kalori semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan. Jika pengambilan kalori semasa tidak hamil adalah 1800 kcal sehari dan berat badan kekal, pengambilan kalori sebanyak 2100 kalori setiap hari adalah biasa dari tempoh 14 minggu kehamilan hingga proses kelahiran. Berikut adalah pola pemakanan yang baik untuk mengekalkan paras gula yang normal di dalam darah:
- Mengambil karbohidrat kompleks (bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran, dan makanan berkanji)
- Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti gandum tulen, dan lain-lain).
- Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti gandum tulen, dan lain-lain).
- Memastikan diet yang rendah lemak, terutama lemak tepu (mentega, daging berlemak, krim dan lain-lain). Pilihlah hirisan nipis daging dan ayam tanpa kulit.
- Elakkan makanan yang bergoreng.
Perlukah melakukan senaman?
Aktiviti fizikal sederhana yang kerap dapat mengurangkan risiko disebabkan oleh GDM dengan meningkatkan keberkesanan tindakan insulin dalam sel-sel badan anda, sekali gus mengekalkan paras glukosa darah yang optimal.
Ia juga dapat membantu mencegah keadaan ketidakselesaan semasa hamil seperti sembelit, sakit belakang dan kekejangan otot.
Berjalan, meregangkan badan dan mengangkat pemberat ringan dapat membantu anda mengeluarkan peluh semasa kehamilan.
Bermulalah dengan sesi selama 15 minit sebanyak tiga kali seminggu dan tingkatkan kekerapan dan tempoh bersenam secara beransur-ansur, jika anda berasa selesa dengan senaman itu.
Banyakkan minum air untuk mencegah penyahhidratan dan amalkan langkah berjaga-jaga apabila bersenam semasa hamil. Berat tambahan yang anda tanggung di abdomen akan mengalihkan pusat graviti anda.
Oleh itu, elakkan aktiviti yang dapat membuatkan anda tidak seimbang. Hentikan senaman jika anda mengalami sebarang kesakitan, pening, sesak nafas, berasa hendak pitam, berdebar-debar, sakit belakang atau pelvis, atau mengalami pendarahan faraj.
Apakah yang berlaku jika amalan diet dan senaman gagal mengawal paras gula dalam darah?
Bagi sesetengah kes, walaupun anda telah mengamalkan pengawalan diet yang ketat dan menjalani senaman yang teratur, paras glukosa darah anda masih lagi berada di luar paras yang disyorkan.
Pada keadaan sebegini, doktor anda mungkin akan mengesyorkan suntikan insulin. Insulin tidak boleh diberi secara oral kerana ia akan dihadamkan seperti protein di dalam makanan dan menyebabkan kesan terapeutiknya hilang. Ia selamat digunakan semasa hamil dan hanyalah bersifat sementara kerana bagi kebanyakan kes, paras glukosa darah anda akan kembali normal selepas bersalin.
Ia diberi secara suntikan di bawah kulit dengan menggunakan jarum yang sangat halus, oleh itu anda akan merasa kurang selesa sedikit ketika suntikan diberi. Ia selalu dilakukan oleh anda sendiri dan anda akan diajar oleh doktor atau jururawat bagaimana untuk melakukannya. Jumlah insulin yang diperlukan untuk memastikan paras glukosa darah dalam tahap normal akan meningkat mengikut perkembangan kehamilan. Ini tidak bermakna GDM semakin teruk. Uri yang membesar seiring dengan berlanjutnya kehamilan akan menghasilkan paras hormon yang menentang tindakan insulin yang semakin meningkat. Akhirnya anda memerlukan lebih insulin untuk mengatasi kesannya.
Bagaimana mengendalikan suntikan insulin?
Doktor atau jururawat terlatih akan mengajar anda teknik suntikan insulin apabila rawatan diperlukan. Ia merupakan suntikan yang biasanya dilakukan di bawah kulit di bahagian tisu subkutaneus. Kawasan suntikan yang biasa ialah di bahagian hadapan peha atas. Suntikan di bahagian abdomen boleh dilakukan.
Penjagaan ubat-ubatan dan jarum
Insulin mesti disimpan di bahagian kering dalam peti sejuk, seperti di tempat menyimpan hasil tenusu. Anda digalakkan menggunakan jarum baru untuk setiap suntikan. Penggunaan jarum yang sama berulang kali boleh menyebabkannya menjadi kurang tajam dan rasa sakit apabila suntikan dilakukan.
Memantau glukosa darah dengan kerap
Memantau paras glukosa darah anda setiap hari adalah penting kerana ia dapat menunjukkan bahawa rawatan anda berkesan ataupun tidak.Ia juga akan membantu anda menentukan sama ada anda memerlukan perubahan dalam pelan diet, program aktiviti fizikal atau ubat-ubatan yang anda ambil.Secara idealnya, anda perlu memantau paras glukosa darah anda sebanyak empat hingga tujuh kali sehari.
Paras glukosa darah perlu diambil pada waktu pagi apabila anda bangun (paras 'berpuasa') dan satu atau dua jam selepas setiap hidangan (paras 'selepas makan'). Pengukuran paras glukosa darah sebelum makan juga digalakkan untuk membolehkan pengubahsuaian dos insulin untuk disuntikkan sebelum hidangan.Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pengawalan paras glukosa darah 'selepas makan' adalah lebih baik untuk ibu dan bayi berbanding pengawalan paras glukosa darah ketika 'berpuasa'.
Doktor mungkin menasihatkan anda untuk memeriksa paras glukosa darah sebelum dan selepas bersenam bagi memastikan anda tidak mengalami hipoglisemia (glukosa darah rendah) semasa bersenam.
Semasa anda hamil, sasaran paras glukosa darah yang disyorkan untuk anda adalah lebih ketat berbanding orang biasa yang menghidap diabetes. Ini penting kerana paras glukosa darah yang di luar batasan dikaitkan dengan kadar komplikasi lebih tinggi untuk ibu mengandung dan bayi yang dikandung. Bagi mengurangkan risiko komplikasi untuk wanita yang menghidap GDM, paras glukosa darah yang disyorkan ialah 5.3 mmol/L atau kurang semasa berpuasa atau 6.7 mmol/L atau kurang dua jam selepas makan. Untuk ukuran sebelum makan, disyorkan paras glukosa darah ialah 5.5 mmol/L atau kurang.
Doktor anda akan berbincang dengan anda tentang paras glukosa darah yang disarankan untuk diri anda. Ujian air kencing untuk memeriksa paras glukosa adalah tidak digalakkan kerana ia tidak tepat terutamanya semasa kehamilan.
Walaubagaimanapun doktor anda mungkin mengesyorkan agar anda memeriksa kehadiran keton di dalam air kencing anda, untuk memastikan anda ada mendapat kalori yang secukupnya dan anda tidak pula sebegitu ketat dengan pengambilan karbohidrat. Keton adalah hasil sampingan dari penguraian lemak. Ia boleh dijumpai di dalam darah dan air kencing akibat insulin yang tak mencukupi atau kalori yang tidak mencukupi dalam diet anda. Walaupun tidak diketahui jumlah keton yang boleh mengancam bayi, keton yang banyak akan disertai dengan asidosis, iaitu satu keadaan yang boleh mengancam bayi.
Sebagai langkah keselamatan, anda perlu mengawasi kehadirannya dalam air kencing dan melaporkan sebarang keputusan yang positif kepada doktor. Untuk menguji kehadiran keton di dalam air kencing, anda boleh menggunakan jalur ujian khusus yang telah dirawat dengan bahan kimia. Ujian dapat dilakukan dengan mendedahkan sehelai jalur pakai buang pada aliran air kencing atau mencelup jalur ke dalam bekas yang mengandungi air kencing. Jalur akan berubah warna bergantung kepada jumlah keton yang hadir di dalam air kencing. Warna jalur bolehlah dibandingkan pada carta untuk menunjukkan paras keton. Penasihat kesihatan boleh menasihatkan anda masa yang sesuai untuk melakukan ujian dan berapa kerap anda perlu melakukannya.
Elakkan alkohol dan merokok
Anda tidak disarankan mengambil alkohol sepanjang tempoh kehamilan kerana ia mungkin dapat menjejaskan bayi anda. Elakkan merokok sepenuhnya kerana kajian telah membuktikan bahawa pendedahan kepada asap rokok walaupun sebagai perokok pasif, boleh menjejaskan perkembangan yang sihat untuk bayi anda.
Apakah yang berlaku jika paras gula di dalam darah menjadi lebih rendah?
Paras gula yang rendah di dalam darah (hipoglisemia) merupakan komplikasi yang mungkin berlaku jika seseorang telah mengambil rawatan insulin untuk GDM. Ini mungkin berlaku jika anda lambat mengambil sarapan atau bersenam lebih dari yang biasa. Ia merupakan kes kecemasan dan perlu dirawat dengan teliti. Jika terdapat gejala hipoglisemia (kekeliruan, pening, penglihatan kabur, berpeluh, terketar-ketar, tersangat lapar) anda perlu mengambil sebarang bentuk gula dengan segera. Apabila anda menggunakan insulin, anda perlulah membawa gula atau makanan/minuman manis (kandi yang manis, minuman berglukosa) sebagai langkah berjaga-jaga. Doktor perlu diberitahu mengenai sebarang reaksi hipoglisemia yang berlaku. Ia mungkin menyebabkan pengubahsuaian dos atau jenis insulin yang anda gunakan.
KOMPLIKASI
Ini bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri anda sendiri. Jika paras gula di dalam darah dapat dikawal dengan baik sepanjang kehamilan, komplikasi untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan dicegah.8 Jika paras gula di dalam darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi menerusi plasenta dan menyebabkan bayi anda juga mengalami paras glukosa darah yang tinggi. Oleh kerana itu, pankreas bayi anda turut bertindak menghasilkan insulin tambahan untuk merendahkan paras glukosa darah yang tinggi
Bayi akan mendapat tenaga (dalam bentuk glukosa) yang berlebihan dari yang diperlukannya, dan tenaga lebihan ini akan tersimpan sebagai lemak badan yang akan menyebabkan makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih).
Jika bayi anda mengalami makrosomia, dia berkemungkinan akan menghadapi masalah kesihatan yang serius seperti kecederaan di bahu semasa kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean. Walaupun tidak mempunyai makrosomia yang nyata, bayi anda mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia) selepas dilahirkan disebabkan pengeluaran insulin berlebihan daripada pankreas bayi anda. Hormon insulin berlebihan ini juga merangsang pembesaran bayi yang berlebihan atau makrosomid.
Paras gula di dalam darah bayi akan diawasi dengan teliti semasa penjagaan bayi dan adalah perlu memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada Jaundis yang berpanjangan, ketidakimbangan paras elektrolit di dalam darah seperti paras serum kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan bayi.10 Adalah dipercayai bahawa bayi yang bersaiz besar cenderung menjadi obes di masa akan datang.
Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
Pemeriksaan ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz bayi dan mengesan polihidramnios serta keabnormalan bayi. Seperti pesakit diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.
GDM juga boleh mendatangkan masalah kepada ibu. Dalam kebanyakan kes, jika bayi anda besar, anda akan mengalami kerumitan ketika melahirkan bayi dan anda mungkin perlu menjalani pembedahan Caesarean.
Anda juga berisiko tinggi mendapat praeklampsia (berkait dengan peningkatan tekanan darah yang tinggi yang boleh menjadi serius, sehingga membahayakan keadaan bayi dan diri anda) semasa kehamilan.
Anda juga lebih mudah untuk mendapat GDM lagi semasa kehamilan akan datang. Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan (National Institute of Health, NIH) Amerika Syarikat, wanita yang pernah mengalami GDM mempunyai 20 hingga 50 peratus kemungkinan untuk mendapat diabetes jenis 2 dalam tempoh 5 hingga 10 tahun selepas kehamilan.
Walau bagaimanapun, ini boleh dicegah - seperti yang telah dibuktikan dalam beberapa kajian ternama yang menunjukkan bahawa pengubahsuaian gaya hidup sahaja atau dengan penambahan ubat-ubatan oleh individu yang berisiko tinggi (termasuk wanita yang menghidap GDM) dapat mengurangkan risiko menghidap diabetes jenis 2 sehingga 58 peratus.
Adakah GDM menjejaskan proses pelahiran dan kelahiran?
GDM itu sendiri bukanlah merupakan penunjuk bagi pembedahan Caesarean. Namun jika bayi terlalu besar untuk menjalani kelahiran normal melalui faraj, atau jika bayi dalam tidak dapat dilahirkan secara normal, maka kelahiran secara Caesarean sangat diperlukan. Jika bayi sangat besar, ia kemungkinan akan mengalami trauma semasa kelahiran, terutamanya kecederaan tulang dan saraf di sekitar bahu.
Pastikan temu janji dengan doktor
Ini adalah perkara yang paling penting kerana doktor akan dapat mengesan awal sebarang komplikasi terhadap diri anda atau bayi serta memberi nasihat sewajarnya bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk.
Apabila anda disahkan menghidap GDM, doktor anda mungkin mencadangkan untuk menjalani pemeriksaan antenatal setiap 2 minggu sehingga kehamilan anda berusia 32 minggu dan selepas itu lakukan pemeriksaan setiap minggu sehinggalah melahirkan bayi. Semasa pemeriksaan, pemeriksaan ultrasound akan dilakukan untuk mengesan sebarang keabnormalan dan komplikasi di samping mengawasi tumbesaran bayi. Profil gula di dalam darah akan diperiksa sekurang-kurangnya setiap 2 minggu untuk menilai keberkesanan pengawalan diabetes anda.
Ketika hampir bersalin, anda mungkin dinasihatkan untuk memantau pergerakan bayi di rumah, sebagai contoh, dengan mengira berapa banyak 'tendangan' yang anda rasai.
Berkemungkinan besar, doktor anda akan mengaturkan tarikh bersalin anda pada minggu ke-38 hingga 40 kehamilan kerana bagi wanita yang menghidap GDM, risiko komplikasi mungkin meningkat jika tempoh kehamilan menjangkau tempoh ini.
Jika terapi insulin diperlukan semasa kehamilan, anda akan diberi suntikan insulin pada waktu pagi semasa pelahiran bermula atau diberi melalui intravena sepanjang proses pelahiran. Selepas bayi dilahirkan paras gula di dalam darah biasanya akan kembali ke paras normal dan insulin tidak diperlukan lagi.
Ujian OGTT perlulah dilakukan selepas 6 - 12 minggu selepas kelahiran untuk memastikan paras glukosa telah kembali normal. Selepas itu, ujian saringan diabetes jenis 2 perlu dijalani secara berkala5 dan disyorkan sekali setahun.
Berita baiknya adalah, walaupun terdapat bahaya dari GDM ini, anda telah dapat lihat secara jelas bagaimana diet yang terurus bersama-sama dengan senaman yang kerap dapat membantu anda mengawal paras glukosa darah dan mengurangkan risiko komplikasi untuk anda dan bayi anda.
Dengan mematuhi garis panduan yang dijelaskan di atas, anda mempunyai peluang yang baik untuk bersalin normal dan melahirkan bayi yang sihat walaupun menghidap GDM.Yang penting - sentiasa berbincang dengan pasukan penjaga kesihatan anda bagi mencapai matlamat.
**********************************************
Bagi anda yang masih tercari cari SET HAMIL yang sesuai anda boleh cuba SET HAMIL SHAKLEE yang lengkap untuk ibu hamil. Set n\ini juga anda boleh teruskan penggunaannya semasa berpantang nanti juga semasa menyusu anak.
KAKI TAK CRAMP, HB NORMAL, MOOD OK JE
Berminat & nak cuba? Konsultasi terbaik saya tawarkan untuk anda. Hubungi saya untuk sebarang pertanyaan & persoalan.
MAISARAH
Call/SMS/Whatsapp - 012 593 1141
COD AREA : BANDAR TUN HUSSEIN ONN, AEON CHERAS SELATAN, MAHKOTA CHERAS, BALAKONG, SERDANG, KAJANG, BANGI, SERDANG, PUTRAJAYA, WANGSA MAJU, KLCC, AMPANG PARK, JLN TUN RAZAK, KL SENTRAL, BANDAR TASIK SELATAN
Dapatkan SET² SHAKLEE untuk Masalah² Anda
No comments :
Post a Comment